Wednesday, April 20, 2011

Nazam untuk si anak



Nazam dimulakan dengan bismillah
 Di sudahi dengan alhamdulillah
Janganlah anak berhati gundah
Dikau diayun nazam di tambah

Dengar lah anak yang dikasihi
Bila besar jangan sombong diri
Ayah bonda mesti di hormati
Suruhan jangan kau ingkari

Dengarlah anak dalam buaian
Suruhan Allah mesti tunaikan
Agar menjadi orang beriman
Dari dunia keakhir zaman

Hai semua hadirin sekelian
Saudara mara serta jiran
Mari segera kita raikan
Majlis berbuai kita mulakan

Dikandung ibu sembilan bulan
Nasi dan air tiada tertelan
Melahirkan dikau berapa kesakitan
Serasa nak bercerai nyawa dan badan

Sebelum dikau jatuh ke lantai
dengan segera bidan mencapai
Sudah dimandikan baju dipakai
Tinggalah ibu mu lemah dan longlai

Sudah dipakaikan lalu di Qamat
Meminta doa supaya selamat
Ingatlah pesan Nabi Muhammad
Atas mengerjakan amal syariat

Jikalau dikau sudahlah besar
Nasihat ibumu hendaklah didengar
Suruhan yang baik jangan di ingkar
Itu menjadi kota dan pagar

Bilalah anak sudahlah baligh
Lima perkara sudah lah wajib
Dirikan sembahyang mengangkat tadbir
Sehari semalam janganlah mungkir

Semasa kecil dibelai di sayang
Didodoi diayun dalam buaian
Tidurlah engkau aman tenteram
Jangan menangis jangan meradang

Sedari kecil hingga dewasa
Ibu bapa sama menjaga
Tak kira malam atau pun senja
Sanggup berkorban apa sahaja

Bila mendapat ilmu yang teguh
Hendaklah diamal bersungguh sungguh
Tertutuplah pintu neraka yang tujuh
Terangalah syurga mu seperti suluh

Ibu dan bapa dengarlah tuan
Peliharalah anak serta pelajaran
Jikalau ini kita abaikan
Kita didakwa di hari kemudian

Pelajaran agama jangan abaikan
Halal dan haram ia samakan
Rugi kerana tidak diajarkan
Akhirnya anak menjadi lawan

No comments: